Mini Konvensyen KIK Peringkat Zon Tengah 2014

29 & 30 September 2014
Anjung Sri Budiman (Dewan Annex)
Universiti Teknologi MARA

Buat julung kalinya Pejabat Teknologi Maklumat (PTM) telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Mini Konvensyen KIK Peringkat Zon Tengah 2014 yang dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 September 2014 bertempat di UiTM Shah Alam.

Sejajar dengan tema bulan inovasi UiTM 2014 iaitu Islam Peneraju Inovasi & Transformasi, mini konvensyen ini mengambil maksud nama-nama indah yang terdapat pada Asmaul Husna berkait rapat dengan daya akal, kreativiti dan inovasi penciptaan yang mana kita sedia maklum rekacipta adalah sifat dan hak mutlak Maha Pencipta yang menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada maka terhasilnya slogan “Inovasi Pemangkin Kesejahteraan Ummah”. 

Slogan ini menekankan agar setiap inovasi dan rekacipta kreatif yang dihasilkan mampu memberi impak positif kepada masyarakat selain membantu organisasi meningkatkan kualiti mutu perkhidmatan dan haruslah bermatlamatkan kesejahteraan untuk semua pihak. 

Mini Konvensyen KIK Peringkat Zon Tengah 2014 merupakan satu medan bagi kumpulan KIK dari semua PTJ di Zon Tengah yang melibatkan Kampus Induk UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam, UiTM Puncak Perdana, UiTM Selayang, UiTM Sungai Buloh dan UiTM Kampus Seksyen 17 untuk membentangkan projek KIK mereka. Persembahan mereka akan dinilai oleh panel yang dilantik dan berpengalaman luas dalam bidang inovasi dan pengurusan KIK secara khususnya. 

Individu yang berminat mendapatkan pendedahan mengenai aktiviti dan pencapaian pelaksanaan projek KIK amat dialu-alukan untuk menghadirkan diri pada kovensyen ini. Penganjuran Mini Konvensyen KIK Peringkat Zon Tengah ini juga merupakan salah satu usaha untuk menyahut seruan UiTM khasnya dan kerajaan umumnya untuk memperkenalkan inovasi baru bagi memantapkan dan memastikan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatan universiti kepada pelanggan berterusan.

Sehubungan dengan itu, penganjuran Mini Konvensyen KIK Peringkat Zon Tengah diharapkan dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam memacu kecemerlangan peserta, universiti dan negara:

  • Memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada staf yang terlibat dalam aktiviti KIK dengan memberi peluang kepada peserta KIK mempersembahkanprojek inovasi mereka.
  • Menyediakan platform kepada peserta KIK berkongsi hasil inovasi mereka dengan bertukar idea untuk menghasilkan kaedah penambahbaikan dan penyelesaian masalah dalam membantu meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan universiti.
  • Mengenalpasti kumpulan KIK terbaik mengikut kriteria yang ditetapkan untuk menyertai Konvensyen KIK peringkat UiTM dan seterusnya.
  • Mewujudkan dan mengeratkan hubungan yang harmoni antara pihak pengurusan dan staf UiTM dari pelbagai jabatan dan bersilang fungsi.

Antara perkara yang disediakan oleh pihak penganjur kepada para peserta dan jemputan ialah Kit Konvensyen (Buku Program), sijil penyertaan (kepada peserta kumpulan KIK), cenderamata serta hadiah bagi kuiz dan cabutan bertuah. Penganjuran kali ini menggunakan pendekatan undian secara rawak ke atas giliran persembahan kumpulan KIK. Peserta KIK akan diraikan dalam satu majlis makan malam yang menyediakan slot “red carpet” sebagai cara untuk mengabadikan kenangan penyertaan di Mini Konvensyen KIK Zon Peringkat Tengah 2014. Selain itu, jam latihan turut diberikan kepada para peserta dan jemputan yang hadir penuh untuk sesi persembahan projek KIK pada 29 dan 30 September 2014. Minum pagi, makan tengahari dan minum petang turut disediakan kepada para jemputan. 

Penganjur membuka peluang kepada peserta dan jemputan untuk turut sama berinteraksi melalui pelbagai medium komunikasi antaranya melalui laman web http://kiktengah.uitm.edu.my, menggunakan #havockik di Twitter dan Facebook, mengikuti Twitter @HavocKIK atau menghubungi melalui saluran emel rasmi iaitu .